Bagaimana dengan orang yang hidup semasa Ramadhan, tetapi meninggal sebelum sampai waktu wajib membayar zakat fitrah?
Antara syarat yang berkaitan juga ialah berkaitan dengan keadaan hidup atau mati ketika waktu wajib membayar fitrah. Dalam hal ini ulama berpendapat, jika seseorang itu hidup pada Ramadhan tetapi mati sebelum sampai waktu wajib menunaikan zakat fitrah iaitu dari terbenam matahari hinggalah solat sunat Aidilfitri, mereka ini tidak wajib membayar fitrah.
Bagi mereka yang masih hidup bila menjelangnya bulan Ramadhan dan sempat sampai ke waktu wajib walaupun berada di dalamnya sekejap contohnya beberapa minit pada waktu Maghrib malam 1 Syawal, golongan ini wajib menunaikan fitrah.
Begitu juga setiap anak yang dilahirkan pada akhir Ramadhan iaitu sebelum waktu Maghrib terakhir Ramadhan dan hidup sehingga selepasnya, golongan ini juga wajib dikeluarkan zakat fitrahnya. Tetapi jika anak tersebut lahir selepas Maghrib hari terakhir Ramadhan maka tidak wajib fitrah baginya.
Terdapat satu cadangan daripada Umar al-Khattab R.A yang mengatakan jika ibu mengandung ingin menunaikan fitrah bagi anak dalam kandungan adalah dibolehkan bertujuan untuk menambah pahala sunat (tathawwu’). Namun begitu hukumnya tetap tidak wajib sebagaimana senarai kes di atas tadi.